Monday, September 21, 2009

Bukan Islam terima sumbangan semarak Aidilfitri

KULIM 21 Sept. - Lazimnya, sumbangan dan duit raya Aidilfitri hanya diberikan kepada mereka yang menyambut perayaan berkenaan.
Bagaimanapun, Pejabat Daerah Kulim (PDK) di sini membawa pendekatan baru pada sambutan Aidilfitri tahun ini.
Sempena kedatangan 1 Syawal semalam, PDK menghulurkan bantuan dan sumbangan duit raya kepada kira-kira 200 individu bukan Islam yang kurang bernasib baik.
Pegawai Daerah Kulim, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, walaupun berbeza dengan amalan sebelum ini namun ia sekurang-kurangnya merapatkan hubungan silaturahim di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Lebih penting lagi, katanya, semua rakyat Malaysia perlu diberi peluang bersama-sama menyambut hari kebesaran berkenaan sejajar dengan semangat baru 1Malaysia.
"Tahun ini kita berikan sumbangan berupa barangan dan duit raya kepada 500 penduduk. Daripada jumlah itu, 200 merupakan orang bukan Islam.
"Walaupun mereka tidak menyambut perayaan itu, kami merasakan mereka juga perlu turut serta bagi memeriahkan perayaan utama rakyat negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis sumbangan bantuan dan duit raya kepada masyarakat kurang bernasib baik peringkat daerah Kulim di sini semalam.
Hadir bersama ialah Ketua Penolong Pegawai Daerah Kulim, Norizan Ghazali.
Menurut Abdul Rahman, kesemua penduduk yang terpilih menerima sumbangan duit raya RM100 setiap orang serta barangan keperluan dan kuih raya.

No comments:

Post a Comment