Tuesday, January 5, 2010

Rakyat Kedah jangan lupa "Kedah Maju 2010"




Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
Apabila kita menjejak kaki ke tahun 2010, rakyat Kedah sepatutnya jangan lupa akan slogan ‘Kedah Maju 2010’. Jika BN masih terus memerintah Kedah selepas pilihanraya umum ke 12 lalu sehingga ke saat ini, maka seluruh penduduk Jelapang Padi ini menjadi rakyat yang sangat bertuah. Apa tidaknya, pada tahun 2010 yang sedang kita tempuhi ini Kedah sudah menjadi negeri maju. Hampir tiada lagi rakyat miskin di Kedah. Semuanya kaya raya.‘Kedah Maju 2010’ adalah slogan ciptaan Menteri Besar terdahulu, Dato’ Seri Syed Razak Syed Zain. Ia dicanangkan sebagai satu wawasan negeri serta diwarwarkan di mana-mana. Macam Najib mencanang 1Malaysia.

Semua program kerajaan negeri pada masa itu diarahkan untuk mencapai wawasan Kedah Maju 2010. Dari papan iklan gergasi, hingga kepala surat slogan ‘Kedah Maju 2010’ menjadi paparan wajib. Dengan latarbelakang sosioekonomi Kedah yang masih ketinggalan pada masa itu, slogan pemimpin BN itu sangat tidak realistik. Semua pegawai kerajaan sedar hal tersebut. Tetapi itulah kelebihan seorang pemimpin apabila kuasa ada di tangan. Ia boleh menggagaskan sesuatu yang mengikut kehendaknya sekalipun tidak logik atau menyusahkan semua orang. Orang bijak pandai di keliling kelalang terpaksa mengikut saja.

Menteri Besar sebelum Syed Razak, Tan Sri Sanusi Junid lebih hebat dan canggih ideanya. Macam-macam ‘perkara pelik’ diperkenalkan kepada rakyat. Tapi semua tahu bahawa idea tanam padi atas bumbung, program jalan air Langkasuka, kelab bola masjid, University of Tomorrow , pusat lembu korban; semuanya menemui jalan buntu.

Dato’ Seri Mahdzir Khalid Menteri Besar yang bersikap realistik. Dia tidak minat dengan slogan bohong, lalu menghapuskan terus ‘Kedah Maju 2010’. Mana tidaknya, sewaktu beliau berkuasa, empat tahun menjelang tahun 2010, hutang Kedah hampir mencecah 2 Billion. Ditakdirkan Mahdzir dan BN rebah terguling sebelum 2010 dan hutang sejumlah melebihi RM2 Billion itu yang dihadiahkan kepada kerajaan Pakatan. Maka tiadalah seorang pun yang berakal dapat menuduh bahawa kerajaan Pakatanlah yang menggagalkan wawasan menjadikan Kedah maju pada tahun 2010. Setidak-tidaknya lega juga Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Di kalangan beberapa Menteri Besar Pakatan, memang Ustaz Azizan lebih ‘lega’ berbanding yang lain. Malahan lebih selesa berbanding Menteri Besar BN Terengganu sendiri. Serangan ganas ala regim Zionis media-media BN terhadap semua Menteri Besar Pakatan menjadi tumpul bila dihalakan terhadap Ustaz Azizan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pernah memberitahu bahawa beliau tidak rasa ‘risau’ apabila Ustaz Azizan berdepan dengan media. Adakah bermakna beliau merasa ‘risau’ jika pemimpin Pakatan lain dihalakan mikrofon wartawan berhubung sesuatu isu kontroversi? Memang betul, dalam beberapa isu tertentu, jawapan ‘loyar buruk’ Ustaz Azizan sudah cukup untuk mematikan terus permainan jahat media tali barut BN memanipulasi isu.

Satu lagi sikap yang dapat mengukuhkan kepimpinan negeri Kedah dari menjadi mangsa serangan ialah bersikap realistik. Realistik dalam sikap, tindakan dan halatuju. Semua rakyat Kedah mahu jika negeri ini maju pada tahun 2010, tapi jika slogan maju dicanang sewaktu ada rakyat Kedah membeli beras dengan menjual kura-kura, ia menjadi kayu ukur perihal kemampuan berfikir pemimpin tersebut. Tanam padi atas bumbung adalah simbol kemajuan, tetapi jika ia dilaksanakan sewaktu beribu-ribu ekar tanah di negeri ini ditanam dengan lalang dan belukar; maka agenda itu hanya akan menjadi gelak ketawa rakyat.

Ustaz Azizan tidak mengumum dasar menjadikan Kedah negeri perindustrian yang maju (walaupun bidang itu tidak dikesampingkan), sebaliknya mahu jadikan Kedah Belanda Malaysia ; iaitu sebuah negeri yang terkemuka di bidang pertanian. Ia dibuat dilaksanakan dengan penuh kesungguhan. Kepakaran dari luar dipelajari dan teknologi mereka dikembangkan di sini.

Sewaktu Sidang DUN baru-baru ini, Exco yang terbabit dengan pertanian diuji dengan beberapa soalan berkaitan. Jawapan yang diberikan seolah-olah taklimat yang disampaikan oleh pakar pertanian. Exco dari Pakatan betul-betul mengkaji dan mendalami. Ia berbeza dengan pemimpin kerajaan dari BN dulu yang kebanyakannya menyerahkan bulat-bulat kepada pegawai.

Betul kata Sanusi Junid sewaktu menjadi menteri dulu; “Nak jadi menteri bukan susah, yang penting Perdana Menteri kenal kita. Kalau wartawan tanya (bidang kementerian kita) jangan dok layan sangat, nanti depa tau kita tak tau apa…”
Hari ini, Kedah sudah menjalin kerjasama dengan Thailand untuk melaksanakan projek menanam kurma. Percubaan dan kajian secara serius telah dibuat di Merbok. Ia dijangka berjaya kerana menurut kajian, tanahnya dikatakan sesuai.

Bayangkan jika projek tanam kurma ini dilancarkan di zaman Sanusi Junid, maka rakyat akan melihat bahawa ia macam projek tanam padi atas bumbung. Tetapi apabila diadakan di zaman Ustaz Azizan, maka tiada siapa yang nak tetawakan kerana tahu semua dasar yang dibuat adalah realistik. Memang realistik, tidak macam Umno yang ‘plastik’ (pinjam istilah Tok Guru Nik Aziz).

Isu Gula,Enjin Jet F-5E dan Kalimah Allah Dalam Khutbah Jumaat Masjid Terengganu




Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Penggunaan Cawangan Terengganu diberitakan akan memasukkan isu kenaikan gula di dalam khutbah Jumaat masjid-masjid di Terengganu. Mengikut Pengarahnya, Mohd Helmi Mohd Noor, ia dilakukan bagi 'memastikan orang ramai mendapat maklumat tepat berhubung isu kenaikan harga gula sejak 1 Januari lalu' itu.
"Jika tiada halangan, khutbah mengenai isu gula akan disampaikan untuk dua Jumaat berturut-turut tidak lama lagi" jelas Mohd Helmi.
Memang wajar isu-isu yang menyentuh kepentingan masyarakat diselitkan dalam khutbah Jumaat. Ia bukan sahaja patut dibuat di masjid-masjid di Terengganu, tapi juga di negeri-negeri lain. Seperti kata Helmi, ia wajar dilakukan bagi memberi peluang orang ramai mendapat maklumat tepat mengenai sesuatu isu.
Namun sekarang ini bukan saja gula yang menjadi bualan dan isu hangat yang dibincangkan masyarakat. Isu kehilangan jet enjin pejuang F-5E dan terbaru isu penggunaan nama Allah juga antara isu yang paling popular sepanjang dua minggu kebelakangan ini. Oleh itu adakah isu-isu ini juga akan dibawa ke mimbar masjid?
Mungkin ada yang berkata isu kehilangan enjin jet pejuang dan penggunaan nama Allah tidak sesuai dibawa ke mimbar masjid kerana faktor keselamatan. Tapi masyarakat kita tidak akan selamat selagi ada pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab melakukan sesuka hati, termasuk menjual peralatan keselamatan seolah-olah negara ini mak bapa mereka punya. Oleh itu masyarakat perlu disedarkan bahawa mereka juga perlu bertanggung jawab menjaga keselamatan negara ini.
http://pendikargunung.blogspot.com/

KALIH ISU

Terima Kasih Majalah Herald dan Hakim Mahkamah Tinggi!!
Sepanjang minggu lepas, sekurang;kurangnya ada 2 isu yang menjadi tajuk utama dibincangkan dalam media dan blog maya ini. Pertama isu kehilangan enjin jet pejuang 5-E negara ini. Kedua isu kenaikan harga gula. Belum pun kedua-dua isu itu reda, negara dihebohkan pula oleh kebenaran menggunakan kalimah Allah dalam majalah Herald-The Catholic Weekly oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Apabila pemimpin politik sudah ramai yang bercakap, apabila ramai yang mula buat bising sambil bertakbir dan menjerit, maka keputusan membenarkan penggunaan kalimah Allah itu tiba-tiba menjadi isu yang sangat besar. Ia isu sangat besar hingga mereka yang tidak kelihatan seperti seorang Islam yang taat kepada agama pun menunjukkan mereka sangat sayangkan agama, sekurang-kurangnya mereka sayang nama Allah. Sayang hukum Allah hal lain pula!Lalu tenggelamlah isu-isu lain. Lalu terlupalah rakyat Malaysia ke mana menghilangnya enjin jet pejuang F 5-E kita, siapa yang bertanggung jawab menghilangkannya, siapa dalang amat berkuasa dan durjana yang menggunakan ilmu David Copperfield menghilangkan enjin jet itu, apa modus operandi yang diguna pakai dan sebagainya.Begitu juga dengan isu gula. Ketika kita sedang bersarapan dengan teh tarik kurang manis, kita terlupa seketika tentang kekurangan gula di dalam cawan kerana hati sedang dibakar oleh amarah kepada Hakim Mahkamah Tinggi dan Herald-The Catholic Weekly.Kini apabila negara dipesongkan dan tertumpu kepada isu kalimah Allah, Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan boleh tidur lena kerana isu enjin jet hilang dan gula naik harga tidak dibincangkan lagi oleh masyarakat. Apabila Mahkamah Rayuan yang Ketua Hakimnya adalah ahli Umno kelak membuat keputusan menolak penggunan nama Allah seketika nanti, Umno akan kelihatan sebagai pemenang yang memperjuangkan isu yang mereka sendiri besar-besarkan itu.Dan selepas isu penggunaan kalimah Allah ini selesai, kita pun sudah lupa kepada isu enjin jet F 5-E yang hilang dan gula dalam minuman yang kurang manis itu.Selepas isu kalimah Allah ini selesai, Najib bolehlah mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pengarang majalah Herald dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan kerana peranan besar mereka yang berjaya menghilangkan isu enjin jet yang hilang dan isu kehilangan kemanisan gula.

http://pendikargunung.blogspot.com/

Kenyataan Rasmi PAS Mengenai Penggunaan Nama Allah Oleh Pihak Beragama Samawi




DI BAWAH ADALAH KENYATAAN PENUH PRESIDEN PAS

PAS sebagai parti Islam, amat menghormati prinsip kebebasan beragama seperti mana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakan pilihan sendiri.


Prinsip kebebasan beragama ini juga telah termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutaan.Walaupun demikian dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama.


Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini. PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.


Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.


PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapatkan sokongan rakyat.Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al Imran ayat 64 yang bermaksud.


‘‘Katakanlah: Hai Ahli Kitab,marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya sebagai tuhan selain Allah’’.


PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh mengugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.


Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS)

HIMPUNAN SUKARELAWAN PEMUDA PAS

HIMPUNAN SUKARELAWAN PEMUDA PAS KEDAH AKAN DIADAKAN PADA 9 JANUARI 2010 BERTEMPAT DI MARKAZ PAS PEKAN KODIANG. BERMULA JAM 9.00 PAGI HINGGA 2.00 PETANG. SEMUA PEMUDA PAS KEDAH DIMINTA HADIR BERAMAI-RAMAI KE HIMPUNAN TERSEBUT. DIANGGARKAN 3000 ORANG PEMUDA AKAN BERHIMPUN PADA HARI TERSEBUT.

Sunday, January 3, 2010

Syabas Husam! - Usaha Husam Akhirnya Kelantan Dapat RM 10 Juta Dari Felcra



Sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa Felcra Berhad menyerahkan sebanyak RM10 juta kepada kerajaan negeri Kelantan sebagai bayaran lebihan pendapatan melalui projek perladangan getah dan kelapa sawit yang menjadi milik negeri.Ia diserahkan oleh Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Pengerusi Perbadanan Menteri Besar Kelantan di pejabatnya di sini semalam.Selain itu, dokumen bagi ladang bernilai RM200 juta melibatkan kawasan tanaman seluas 6,065 hektar tanpa peserta yang dimajukan Felcra juga diserahkan kembali kepada kerajaan negeri.Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian itu, Tajuddin memberitahu, Felcra memajukan 10,802 hektar tanah dengan tanaman getah dan kelapa sawit di negeri ini sejak lebih 20 tahun lalu.Kawasan terlibat yang telah dimajukan ialah di jajahan Gua Musang Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli dan Pasir Mas.


Daripada kawasan yang dimajukan itu katanya, terdapat 31 projek dengan keluasan 6,065 hektar yang belum dipilih pesertanya oleh kerajaan negeri.Berikutan itu katanya, kerajaan Kelantan mahu supaya kawasan berkenaan dibahagikan secara fizikal 70:30 iaitu 70 peratus menjadi bahagian Kelantan melibatkan 20 projek dengan keluasan 4,247 hektar.''Sebanyak 30 peratus melibatkan 11 projek dengan keluasan 1,818 hektar menjadi milik Felcra," katanya.Dengan persetujuan itu juga katanya, kerajaan negeri mengeluarkan 25 lot hak milik tanah bagi 11 projek berkenaan dan Felcra telah membayar premium ke atas tanah berkenaan.''Dalam masa yang sama, Felcra membayar sejumlah RM10 juta kepada pihak berkuasa negeri sebagai bayaran lebihan pendapatan bahagian 70 peratus projek yang dibahagikan kepada kerajaan negeri," ujar beliau.


Persetujuan itu katanya, dapat membantu Felcra menampung kos pengurusan yang kemudiannya berupaya meningkatkan kecekapan pengurusan syarikat demi kesejahteraan warga peserta.Ia adalah hasil usaha Husam yang penyabar (kulu kilir) menjalankan usaha untuk mendapatkan pendapatan tambahan kepada Negeri dan rakyat, jiwokelate dipetik.Daripada berhiruk-pikuk dengan masalah UG, masalah arifahmi, masalah itu dan ini di dalam parti, Husam menunjukkan langkah apa yang sepatutnya dilakukan oleh ahli dan pemimpin parti. Tewas di dalam pemilihan jawatan bukan bererti kebajikan dan kebaikan juga dihentikan lantarannya tetapi terus disemrakkan lagi sehinggalah nanti, ahli-ahli menyaksikan sendiri, mana permata, mana kaca di dalam parti.Itu belum lagi mengenai usaha yang dilakukan untuk merebut kembali royalti yang telah dinafikan oleh Kerajaan Pusat terhadap Kerajaan Kelantan.. dan insyaAllah berkat doa kita semua usaha Husam itu tidak akan disia-siakan Allah s.w.t.Tinggalkan saja mereka yang irihati, yang dengki, yang berdaki di hati terhadap manusia yang bernama Husam ini.

ISU KRISTIAN DIBENAR GUNA NAMA "ALLAH"

Sila klik di sini (Malaysia Kini), di sini (Dr. Maza), di sini (Ketua DPP Pusat), di sini (Ust Idris Ahmad), di sini (Hanif), di sini (Khalid Samad), di sini (Khalid Samad 2), di sini (Fakulti Siasah Syariah) , di sini (Suwari Timur), di sini (tukar tiub), di sini (Arif Omar), di sini (PKPIM), di sini (Herman Shamsudin), di sini (Zulkifli Nordin), di sini (Hasmadi Hamdan), di sini (Tulang Besi), di sini (Ust Zulkarnain Al-Hafiz), di sini (Faisal Tehrani), di sini (Dr. Mohd Nur Manuty) untuk melihat pandangan berbagai pihak mengenai kes penggunaan nama Allah oleh akhbar Herald-The Catholic Weekly yang berorientasikan agama Kristian mahu menggunakan nama Allah yang telah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi.Isu Kristinianisasi bergegar semula di Malaysia.Tahun 1980an PAS menjuarai isu ini.Tahun 2010an UMNO cuba menjadi juara isu ini.Demonstrasi merata-rata bela nama Tuhan (Allah), malangnya Tuhan (Allah) yang mereka pertahankan namaNya, tetapi apa yang Tuhan (Allah) suruh laksanakan mereka tak mahu laksanakan dalam pemerintahan dan perundangan?
Ini yang aku pelik. Aku pesan juga kepada pemimpin PAS (temasuk aku) yang memerintah negeri jangan lupa untuk menunaikan perintah Tuhan (Allah) jika tidak, kita akan di lihat ............ "seropaaaaaaa. (Kata Ustaz Harun Memali)". Jika tidak mampu lagi, perkara utama yang mesti dilakukan ialah kesungguhan yang nampak jelas untuk menuju ke arah itu.UMNO pun sudah melaungkan 'Allah Hu Akbar' yang sebelum ini melaungkan 'Hidup Melayu'. Kepada pemimpin UMNO jika benar-benar ikhlas kepada Tuhan (Allah swt) istiharkanlah Malaysia untuk menggunakan hukum tertingginya Al-Quran iaitu Kitab Suci yang di turunkan oleh Tuhan (Allah) yang kamu pertahankan namaNya.Janganlah berusaha untuk memenangi hati rakyat Islam, tetapi tidak memenangi hukum Tuhan (Allah) dalam Al-Quran.
Kita boleh kecoh manusia selama hidup kita ini tetapi kita tidak boleh kecoh Allah yang Maha Mengetahui dan yang dapat membolak-balikkan hati manusia. Hanya kerana untuk menagih undi rakyat kitapun berpura marah kepada penggunaan nama Allah oleh pihak Krisitian, tetapi hakikatnya kita sendiri tidak yakin dengan apa yang di perintah untuk kita laksanakan di dalam pemerintahan dan perundangan oleh Tuhan (Allah) yang kita pertahankan namaNya.Aku berani kata begitu, kerana jika kamu UMNO yakin dengan Tuhan (Allah), sudah tentu kamu lakukan, tetapi kami PAS telah berusaha meletakkan Hukum Tertinggi di negeri yang kami perintah iaitu di Kelantan dan Terengganu, sebaliknya kamu sudah 52 tahun memerintah masih tidak yakin dengan Hukum Tuhan (Allah), masih yakin dengan Penjajah Bristish. (Apakah British adalah Tuhan kamu juga selain Allah?).
Kami PAS tidak dapat laksanakan kerana perlaksanaannya dihalang oleh Kerajaan Pusat yang tidak mahu bekerjasama dalam kes tangkapan oleh Jabatan Polis dan hukuman oleh Jabatan Penjara serta amaran keras oleh Tun Mahathir ketika beliau menjadi Perdana Menteri.Janganlah kamu UMNO berpura-pura dengan Tuhan (Allah) hanya untuk meraih kepentingan duniawi yang amat sedikit.Kepada pemuda pemudiku, perkuatkan aqidahmu, perkuatkan hujjah mu... jadilah kamu Ahmad Deedat untuk melawan dakyah Kristian itu, jangan takut jika kita dipihak yang benar. Ketakutan kerana kita bodoh dan akan mudah terseleweng, bukan dengan menghalang orang lain tetapi dengan menjadikan kita dan anak-anak umat Islam bergeliga otaknya, keperibadian diri yang murni, kehebatan disegi ketamadunan, dalam menghadapi cabaran yang semakin mencabar.
Sila baca hujjah-hujjah di link yang diberi di atas untuk kita bersama mencari pendekatan yang terbaik dalam usaha memartabatkan Islam mengikut acuan Muhammad saw. di maya pada ini.Yang penting dan paling utama, ikhlaslah sebenar-benarnya kita kepada Allah yang kita mengaku dengan 99 namaNya itu, janganlah kita bertuhankan Manusia.
-Aris Awang